| HOME | ABOUT | CONTRIBUTING | SEARCH | |
Berita Minggu Online KINI Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah dihadapkan ke mahkamah atas beberapa tuduhan yang menggemparkan dan terpulang kepada mahkamah untuk menentukan sama ada sabit atau tidak dakwaan-dakwaan itu. Walaupun ada pihak termasuk Anwar sendiri cuba menimbulkan syak wasangka terhadap keadilan yang boleh diharapkan daripada sistem perundangan negara, umum terima hakikat mahkamah di Malaysia teruji keadilannya. Berikutan dengan penampilannya di mahkamah, isu pemecatan Anwar sudah berubah. Gerakan reformasi - sebenarnya gerakan demonstrasi untuk mencetuskan huru hara ala gerakan reformasi Indonesia - sudah keletihan. Walaupun pada mulanya gambaran yang diberikan khususnya oleh media asing dan melalui Internet seolah-olah mendapat sokongan ramai ternyata pandangan mereka itu meleset sekali. Media asing ini khususnya dua rangkaian TV Amerika CNN dan CNBC memberi gambaran seolah-olah mereka mengharapkan keadaan huru hara akan berlaku di sini. Demikian juga pelbagai agensi berita antarabangsa, majalah berita serantau dan antarabangsa begitu ghairah memberi gambaran seolah-olah gerakan reformasi itu begitu menular hingga boleh menggoncang kewibawaan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Gambaran yang diberikan gerakan reformasi itu akan berterusan sebagaimana berlaku di Indonesia yang memaksa Presiden Suharto meletakkan jawatan. Tidak hairanlah bagi wartawan asing yang datang hanya untuk membuat laporan demikian tidak mengetahui sistem politik dan pemerintahan kita. Tetapi apakah alasan bagi wartawan asing yang sudah berada di sini begitu lama atau rakyat Malaysia sendiri yang bekerja dengan media asing masih juga tidak boleh memberikan gambaran yang sebenar. Mereka ini nampaknya begitu aib dengan pandangan kebebasan akhbar sebagaimana digembar-gemburkan oleh kewartawanan liberal Barat bahawa apa-apa maklumat yang diberikan oleh pihak pemerintah harus diragui dan dipersoalkan. Tetapi apa saja maklumat atau pandangan yang diberikan oleh pihak yang bertentangan dengan kerajaan diterima bulat-bulat. Inilah konsep kebebasan akhbar mereka. Mereka tidak faham atau tidak mahu faham bahawa sistem pemerintahan kita amat berbeza dengan sistem di Indonesia.Mahathir tidak mungkin dapat dijatuhkan di luar parti, melainkan melalui rampasan kuasa. Kalau inilah yang mereka mahu perjuangkan ia bukan lagi cara demokrasi. Apakah ini yang mereka mahu? Apakah ini juga yang dikehendaki Amerika atau Australia? Keutuhan dan perpaduan Umno tidak terjejas pun berikutan pemecatan Anwar. Tidak seorang pun anggota MajlisTertinggi yang mengikut Anwar. Demikian juga hingga kini tidak seorang pun ketua bahagian keluar daripada Umno. Keadaan sekarang amat berbeza dengan apa yang berlaku dalam Umno ketika krisis dengan Tengku Razaleigh apabila Umno terbahagi dua hingga membawa kepada penubuhan Parti Melayu Semangat 46 pada tahun 1989. Walaupun demikian Dr Mahathir tetap mendapat sokongan ketika itu apatah lagi dengan keadaan sekarang. Sebenarnya memang ramai rakyat tidak menyetujui matlamat 'reformasi' untuk menimbulkan rusuhan. Demikian pula usaha untuk menonjolkan isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai penyambung gerakan itu juga tidak berhasil. Ia sudah tidak punyai kemudi. Demikian pula isu pemecatan Anwar sudah berubah. Dengan itu liputan media asing juga sudah beralih. Apabila kelihatan tiada lagi perkara yang negatif yang mereka boleh timbulkan tumpuan mereka sudah beralih ke tempat lain. Ini sudah menjadi lumrah mereka. Perhatian mereka terhadap sesuatu perkembangan amat terhad kiranya mereka tidak boleh menimbulkan sesuatu kontroversi yang baru. Demikianlah ketika Anwar dihadapkan ke mahkamah, yang menjadi berita kepada mereka bukan lagi tuduhan-tuduhan keatasnya, tetapi dakwaan beliau dipukul dalam tahanan. Deraan itu sememangnya tidak harus berlaku. Ini menimbulkan banyak reaksi negatif terutama dari luar termasuk beberapa pemimpin dunia terhadap pihak berkuasa. Jabatan Negara Amerika sudah dua kali mengeluarkan kenyataan mengenai isu ini. Demikian juga Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Australia mengkritik tindakan terhadap Anwar sebagaimana juga Presiden Joseph Estrada dari Filipina. Apakah pembesar negara asingini membuat andaian mereka hanya daripada laporan media? Atau reaksi itu juga hasil laporan kedutaan mereka di sini? Jika demikianlah halnya apakah sebenarnya yang dilaporkan oleh kedutaan mereka itu? – Oleh REJAL ARBEE |
|
| Published 4 October 98 | TOP |